5 C
New York
Saturday, November 30, 2024

Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tetapkan hukuman lebih tegas terhadap pemandu ‘lalok’ – Loke


Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tetapkan hukuman lebih tegas terhadap pemandu ‘lalok’ – Loke

Kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT) bercadang untuk meminda Seksyen 45A di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) untuk memasukkan elemen hukuman yang lebih tegas terhadap pemandu kenderaan pengangkutan awam dan perdagangan yang didapati memandu dalam pengaruh dadah walau pun tidak menyebabkan kemalangan.

Seksyen 45A berkaitan memandu atau menjaga kenderaan motor dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan berikutan kesalahan memandu dalam pengaruh dadah tidak dikenakan hukuman yang setimpal seperti yang diterima pesalah mabuk.

Menurut menteri MOT Anthony Loke, cadangan itu akan diusulkan ke Persidangan Ketiga Dewan Rakyat pada Oktober ini selepas perbincangan lanjut bersama pegawai kementerian dan jabatan berkaitan, laporan Bernama.

Katanya, undang-undang sedia ada terhadap kesalahan pemandu positif dadah didapati kurang tegas dan sepatutnya perlu dihukum seperti kesalahan pemandu mabuk di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM10,000 dan penjara dua tahun.

Namun, kata Loke, sekiranya pemandu disaring positif dadah dalam operasi sekatan jalan raya, hanya tindakan penggantungan lesen sahaja dilakukan mengikut Seksyen 36.

“Kementerian ketika ini dalam proses meminda Akta 333 namun kita lihat ada kebimbangan dalam penggunaan dadah oleh pemandu kenderaan perdagangan dan berdasarkan hukuman semasa, kita tidak mahu menunggu kemalangan berlaku disebabkan sikap pemandu ini.

“Jadi adalah menjadi keperluan untuk kementerian menghentikan aktiviti mengambil dadah dalam pemanduan dan saya sendiri akan berbincang dengan lebih lanjut dengan pegawai kementerian serta pegawai undang-undang untuk melihat perkara ini dari aspek undang-undang yang lebih tegas,” katanya selepas hadir dalam lawatan Program Pematuhan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam di Stesen Penguatkuasa JPJ Gombak hari ini.

Tambah Loke, berdasarkan statistik operasi terbaharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati dalam 13 pemandu yang disaring sekurang-kurangnya seorang yang didapati menggunakan dadah.

“Dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan dari 1 Ogos hingga 4 Ogos lalu menunjukkan, seramai 21 orang pemandu dikesan positif dadah hasil daripada pemeriksaan saringan ujian urin terhadap 276 orang pemandu kenderaan perdagangan. Kita tidak berkompromi dengan pemandu-pemandu yang tidak kompeten dalam mengendalikan kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam,” katanya.

Loke menjelaskan, pemandu kenderaan tidak boleh mengambil sebarang dadah walaupun secara kasual kerana ia boleh menyebabkan kemalangan, seperti pemandu di bawah pengaruh alkohol.

“Saya tidak menerima istilah mengambil dadah secara kasual dalam pemanduan kenderaan, kerana kesannya adalah sama seperti mereka yang mabuk iaitu mereka akan khayal dan boleh mempengaruhi pemanduan termasuk memandu secara laju. Mereka ini mungkin menggunakan dadah untuk merangsang pemanduan jarak jauh,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (Bas Persiaran dan Ekspres) yang diadakan bermula pada 2 hingga 31 Julai lalu, sejumlah 19,456 kenderaan sudah dikenakan tindakan.

“Daripada jumlah itu, 667 kenderaan dikenakan tindakan, dengan 14 daripadanya disita. Hasil pemeriksaan daripada 2,547 pemandu bas persiaran dan ekspres, seramai 26 pemandu juga disaring positif dadah,” katanya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.



Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Latest Articles