10.4 C
New York
Tuesday, November 26, 2024

Jajaran Seksyen 1 WCE Banting-SKVE dibuka bermula tengah malam ini — tol percuma hingga 29 September


Jajaran Seksyen 1 WCE Banting-SKVE dibuka bermula tengah malam ini — tol percuma hingga 29 September

Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) hari ini menyaksikan pembukaan rasmi bagi Seksyen 1 projek berkenaan, yang melibatkan jajaran laluan dari Persimpangan Bertingkat Banting ke Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).

Jajaran Seksyen 1 ini merupakan susur masuk dan keluar paling selatan bagi WCE yang menghubungkan Banting hingga ke Taiping. Jajaran tersebut meliputi jarak sepanjang 12.5 kilometer dan akan dibuka kepada umum bermula tengah malam ini. Laluan ini mampu menjimatkan 30 minit masa perjalanan dari Banting menuju ke KESAS.

Perasmian lalun terbaru ini dilakukan oleh Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi. Dan sempena sambutan Hari Merdeka negara yang ke-67 esok, jajaran WCE yang dimaksudkan ini akan dikecualikan daripada kutipan tol selama sebulan, dan akan berakhir pada 29 September 2024 nanti. Bagaimanapun, perlu dijelaskan, pengecualian tol ini hanya untuk WCE Seksyen 1 sahaja, dan tidak melibatkan laluan SKVE yang menghubungkannya (sila rujuk rajah untuk maklumat kadar tol).

Untuk peringkat awal ini, WCE menganggarkan kadar penggunaan harian jajaran Seksyen 1 ini adalah sekitar 8,000 hingga 10,000 kenderaan sehari. Bagi Seksyen 1 WCE ini, hanya terdapat kawasan rehat biasa dengan kemudahan asas seperti tandas dan surau. Untuk kawasan Rehat & Rawat yang lebih besar dan lengkap berdekatan, ia akan disediakan dalam jajaran Seksyen 2 kelak.

Ketika ini, tujuh daripada 11 seksyen WCE telah siap dan dibuka kepada umum. Dan pada Disember nanti, jajaran Seksyen 2 pula akan menyusul untuk dirasmikan dan dibuka kepada umum. Sejak penghujung 2019, WCE mula dibuka kepada secara berperingkat, bermula dengan jajaran Seksyen 5 yang melibatkan laluan dari Persimpangan Bertingkat Lebuh Raya Pintasan Selat Klang Utara Baru (NNKSB) ke Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja.

Kemudian pada November 2023, jajaran Seksyen 6 pula dibuka, melibatkan laluan dari Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke Persimpangan Bertingkat Assam Jawa, melibatkan jarak 21.8 km.

Pada Mac tahun ini pula, jajaran Seksyen 11 dari Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Bertingkat Beruas pula dirasmikan, melibatkan jarak laluan sepanjang 35.5 km, sekaligus melengkapi beroperasinya semua seksyen laluan WCE yang berada dalam negeri Perak.

Lebuhraya WCE merupakan sebuah lebuh raya antara bandar yang merentasi bahagian pantai barat Semenanjung Malaysia dan menghubungkan Changkat Jering di negeri Perak (Utara) ke Banting di negeri Selangor (tengah) melibatkan jarak keseluruhan sepanjang 314.5 km.

Lebuhraya ini melalui destinasi utama seperti Beruas, Sri Manjung, Sitiawan, Teluk Intan, Bagan Datuk, Hutan Melintang di negeri Perak dan Sabak Bernam, Tanjong Karang, Kuala Selangor, Klang, Shah Alam dan Banting di Selangor. Beberapa bahagian lebuhraya ini juga bersambung dengan jalan Persekutuan biasa, misalnya seperti di kawasan sekitar Sabak Bernam/Sekinchan dan juga Seberang Perak selepas Teluk Intan menuju Lekir.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.



Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Latest Articles