10.3 C
New York
Tuesday, November 26, 2024

Proton buka gudang alat ganti baharu di Sabah; 2.5 kali lebih besar, komponen sampai 30% lebih cepat


Proton buka gudang alat ganti baharu di Sabah; 2.5 kali lebih besar, komponen sampai 30% lebih cepat

Proton secara rasmi telah membuka satu lagi pusat pergudangan bahagian (RPC), kali ini terletak Kota Kinabalu, Sabah, selepas pembukaan pusat yang sama di Kuching, Sarawak tahun lalu.

Menurut jenama automotif nasional itu, dengan pembukaan RPC baharu ini ia mampu mengurangkan masa penghantaran alat ganti sebanyak 30% di Sabah berikutan lebih banyak komponen dari Proton Components Centre Sdn Bhd (PPCSB) di Shah Alam dapat dihantar dan disimpan serta terdapat alat ganti yang dapat diperoleh terus menerusi penghantaran dari luar negara.

Proton turut menyatakan bahawa pembukaan RPC baharu ini juga adalah untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di Sabah kerana negeri tersebut merupakan negeri ketiga tertinggi untuk penjualan kenderaan Proton di Malaysia.

RPC terbaharu ini terletak di kawasan komersial di Inanam dan mempunyai ruang lantai kira-kira 28,000 kaki
persegi, iaitu 2.5 kali ganda lebih besar daripada lokasi sebelumnya. Ia boleh menerima sebanyak enam kontena
alat ganti di lokasi secara serentak berbanding hanya dua kontena sebelum ini.

Dengan itu ia kini boleh memproses secara purata 26 kontena sebulan untuk memanfaatkan sepenuh keupayaannya menyimpan stok selama tiga bulan, membolehkan masa penghantaran alat ganti ke pengedar dan pelanggan dapat dikurangkan berikutan lebih banyak ruang penyimpanan dapat disediakan.

Proton buka gudang alat ganti baharu di Sabah; 2.5 kali lebih besar, komponen sampai 30% lebih cepat

“Dengan permintaan pelanggan yang semakin meningkat kebelakangan ini, fasiliti gudang Proton yang sebelumnya di Sabah telah melimpah dengan alat ganti dan beroperasi secara tidak cekap akibat kekurangan ruang. Pembukaan fasiliti baru di Kota Kinabalu ini akan melengkapkan fasiliti yang sedia ada di Kuching, dan kedua-duanya akan berfungsi secara kolektif sebagai pusat pengedaran alat ganti dan komponen selepas jualan untuk Malaysia Timur,” kata Edmund Lim,
Naib Presiden Jualan dan Selepas Jualan, Proton Edar dalam kenyataan yang dikeluarkan.

“Peningkatan keseluruhan dan penyimpanan ini telah mewujudkan penampan untuk lonjakan dan turun naik permintaan, membolehkan kami meningkatkan daya pemprosesan alat ganti. Setakat ini, kami sedang menangani dengan pantas tunggakan pesanan daripada pengedar dan pelanggan kami di pasaran ini,” tambahnya lagi.

Dengan dua RPC bersaiz besar yang kini beroperasi di Sabah dan Sarawak, operasi Proton di Malaysia Timur kini dapat mengendalikan sehingga 28 kontena alat ganti dari Malaysia Barat dan juga luar negara setiap bulan, berbanding 24 kontena sebelum ini.

PPCSB juga telah melancarkan sistem pengurusan gudang (WMS) baru di semua lokasi awal tahun ini. Ia membolehkan kapasiti penghantaran harian di RPC terbaru meningkat sebanyak 66% kepada 300 baris pada bulan Julai berbanding hanya 180 baris sebelum ini, serta sasaran kapasiti maksimum 400 baris dijangka dicapai menjelang September.

Ruang tambahan lebih besar ini membolehkan pengagihan 8,500 bakul untuk menyimpan alat ganti, meningkat dari 5,000 bakul di fasiliti sebelumnya. Hasilnya, nilai stok dijangka meningkat sebanyak 1.5 kali ganda kepada RM9 juta menjelang Disember 2024, meningkat daripada RM5.8 juta setahun sebelumnya.

Dalam kenyataan yang sama, Proton turut memaklumkan bahawa pegangan pasarannya di Sabah telah meningkat secara berterusan daripada 10% pada 2018 kepada 25.9% pada 2023 dan kini berada pada 27.4% setakat ini untuk tahun 2024. Peningkatan ini didakwa didorong oleh populariti mannequin siri X baru serta Proton Saga yang kekal relevan. Pada tahun 2023, jualan kenderaan Proton di Malaysia Timur menyumbang 15.8% kepada jumlah jualan keseluruhan syarikat itu.

Mannequin Proton yang paling laris dijual di Sabah adalah Saga dengan 13,700 unit terjual, diikuti oleh Persona dengan 4,264 unit dan Proton X50 dengan 2,955 unit.

“Jualan Proton di Malaysia Timur telah meningkat sebanyak 3.1 kali ganda kepada 23,871 unit pada tahun 2023 dari 7,697 unit pada tahun 2018. Dengan 8,000 tempahan untuk Proton X50 2024 dan pelancaran Proton X70 2025 tidak lama lagi, kami menjangkakan satu lagi peningkatan di negeri ini menjelang akhir tahun. Oleh itu, dengan peningkatan jualan yang membawa kepada permintaan alat ganti yang lebih tinggi, pelancaran pusat bahagian yang lebih besar dan canggih akan memastikan bekalan alat ganti yang mencukupi bukan sahaja untuk kenderaan baru tetapi juga meningkatkan perkhidmatan selepas jualan kami,” tambah Edmund Lim.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.



Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Latest Articles